RSS

TITISAN AIR HUJAN


ESSAY NI AKU MENANG PERINGKAT NEGERI TERENGGANU..
UNDER TEMA " GURU"
TAHUN 2008
DAPAT TROFI, DUIT DAN SIJIL PENYERTAAN..
TOP 5 DALAM NEGERI TERENGGANU DAN AKU,
NURUL FARHANA MOHD NASIR ADALAH SALAH SEORANG PEMENANGNYA..
(hahaha.. expose sekali sekali apa salahnya kan..?)


Aku dilahirkan dalam sebuah keluarga yang kaya- raya. Aku merupakan anak tunggal. Dulu semasa hayat arwah papaku masih ada, papa yang mempunyai gelaran Datuk Seri Amir Amiruddin, amat mengambil berat tentangku. Jauh berbeza dengan mama. Aku mempunyai mama, tetapi tidak pernah merasai sentuhan dan kasih sayang seorang ibu. Hanya Mak Jah, pengasuhku yang setia menyediakan makan dan minumku. Namun, setelah papa kembali ke Rahmatullah, aku kini kembali gersang. Papa, Haris rindukan papa..



Mamaku bergelar Datuk Seri. Mamaku juga seperti papaku. Cuma bezanya, mama sentiasa sibuk dengan tugasan sebagai Pengarah urusan di sebuah Syarikat animasi terkemuka di Ibu Kota. Dan mamaku ialah Datuk Seri Nur Halena Asyraf. Dengan kepakarannya, mama telah melakar nama Malaysia di pentas dunia dalam bidang animasi. Ini menyebabkan mama sentiasa menerima undangan menghadiri majlis-majlis besar didalam dan luar negara sehinggakan terlalu jarang berasa dirumah. Akhirnya, aku lebih banyak hidup bersendirian dan hanya ditemani oleh pembantu rumah. Dan yang pastinya hubungan antara aku dengan mama amat renggang sekali














Keluargaku mempunyai tujuh orang gaji. Walaupun aku baru berumur 12 tahun, tapi aku lebih mengenali erti kehidupan sebenar. Tidak seperti kanak-kanak yang lain. Aku tidak berpeluang untuk merasai kasih sayang dari sebuah keluarga.






“Haris, apa yang termenung tu? Mari sini. Mak Jah dah masakkan nasi kegemaran Haris. Marilah.” Aku terkejut dengan suara lembut mak Jah memanggilku. Hatiku sering terdetik mengatakan yang suara mama memanggilku begitu tapi aku sedar hakikatnya lain. Mak Jah hanyalah pengasuhku.






“Ya Mak Jah.” Pantas aku meluru kearah meja makan. Aku duduk di meja yang membolehkan sehingga 14 orang duduk bersama menjamu selera. Dengan renungan kosong, hanya aku seorang yang akan duduk disitu.






Di sekolah, aku merupakan salah seorang murid harapan untuk peperiksaan besarku iaitu UPSR pada penghujung tahun ini. Tapi sayangnya, mama tidak pernah untuk cuba mengambil berat tentang pelajaranku. Ada kalanya, aku merasakan tiada guna untuk aku berlajar bersungguh-sungguh. Aku buntu. Mulai daripada saat itu, aku mula menjauhkan diri dengan buku. Kadang-kadang aku tidak ke sekolah dengan alasan tidak enak badan. Di rumah, hanya Mak Jah yang memahami keadaan diriku.






Pagi itu suasana amat tenang. Aku hanya menconteng-conteng buku latihan Bahasa Malaysia di hadapanku. Aku tidak berminat untuk mengikuti celoteh Cikgu Balqis dihadapanku. Aku memerhati gelagat guru muda itu. Aku buntu. Guru muda itu selalu mengambil berat perihalku.


Aku masih mengingati kata-kata nasihat guru itu. Sentuhan dan belaiannya, amat meruntun tirai hatiku yang dahulu amat dahagakan kasih sayang.


“ Haris dah makan?” Tanya cikgu Balqis kepadaku. Bibirnya mengukir sekuntum senyuman. Manis. Ditambah pula dengan ulas bibir bak delima. Cikgu Balqis tampak begitu anggun dengan mengenakan kebaya nyonya merah hati itu. Aku tersenyum dan menggaguk. Entah mengapa aku terasa tenang di sisinya. Uniknya, ramai dikalangan teman-temanku mengatakan wajahku ada iras Cikgu Balqis. Aku hanya tersenyum mendengar usikan itu.






“ cikgu, Haris benci mama. Benci sebab mama tidak pernah sayangkan Haris. Haris bukan anak mama ke cikgu?” tanyaku disulam sendu yang semakin tidak tertahan. Cikgu Balqis terdiam. Aku melihat tubir matanya tidak betah lagi menahan takungan air mata. Perlahan-lahan air hangat itu mengalir lesu membasahi pipi gebunya. Tersentuh hatinya melihat anak kecil itu tersedu-sedu hiba.


“ Tidak sayang. Mama Haris sayangkan Haris. Mana ada ibu yang tidak sayangkan anak. Sedangkan binatang pun menyanyangi anaknya. Cuma, mama Haris sibuk. Mama buat semua tu untuk masa depan Haris. Cuba bandingkan mama Haris dengan ibu-ibu lain yang menggadaikan anak-anak perempuan untuk dijadikan pelacur akibat desakan hidup. Terpaksa hidup bergelumang dosa demi mencari sesuap nasi. Atau ada yang melahirkan lalu dibuang ke tempat lain dengan niat tidak mahu membebankan kehidupan. Mahukah Haris hidup seperti itu? Apa yang mama lakukan hanya untuk kepentingan Haris. Mama cuma mahukan Haris hidup senang, tidak bergelumang dengan kehidupan seperti itu. Ingat Haris, Syurga dibawah telapak kaki ibu” ujar cikgu Balqis tenang.






Air mataku bercucuran lajunya dengan kata-kata cikgu Balqis. Betapa besar pengorbanan mama kepadaku. Dulu, aku hanya mahu semua orang memahami kehendak dan keinginanku. Kini aku tahu. Ya ALLAH, ampunilah hambamu yang banyak berdosa kepada ibu kandungku…






Bermula daripada hari itu, hubungan aku dan cikgu Balqis semakin rapat sehingga aku digelar anak angkat cikgu Balqis di kalangan teman-temanku. Namun aku tidak kisah. Aku merasa bangga berhubungan rapat dengan guru sebaik cikgu Balqis. Cikgu Balqis banyak memberi dorongan dan semangat untuk aku berjaya dengan cemerlang dalam UPSR. Kini aku kembali tekun menelaah pelajaran dibantu oleh Cikgu Balqis. Aku seperti ditiup semangat baru.






Aku pulang ke rumah dijemput pemanduku, abang Khairul. Seperti biasa, aku bersolat memohon ampun dan tidak lupa untuk arwah papaku. Tadi aku melihat kereta Honda Prelude milik mama ada di garaj. Sudah tentu mama sudah pulang. Aku mengorak langkah ke bilik mama. Tetapi hampa. Mama tiada di biliknya. Mungkin di tingkat bawah melihat Puteri, kucing Parsi yang dibeli mama di Chiangmai tahun lalu. Aku terpandang sebuah dairi baldu biru di tepi katil empat tiang mama. Kuselak helaian demi helaian dan akhirnya mataku terpaku pada satu nota.










Kakakku Halena,


Kutitip anak ini kepadamu. Besarkan dan bajailah dengan penuh kasih sayang. Penuhkanlah segala keperluan dirinya. Biarlah anak ini membesar dengan dilimpahi kemewahan akhlak rohani dan jasmaninya. Sesungguhnya, aku amat mencintai anak kandungku, Haris Fakrullah..


Adikmu,


Balqis Asyraf






Aku terkedu. Permainan apa yang sedang dihadapiku sekarang? Aku buntu. Balqis? Ibunya? Mama? Dunia terasa berpusing dan mataku semakin gelap dan akhirnya terus gelap.






Aku masih berteleku disini. Hatiku diruntun sayu. Di hatiku kini merasai kebencian mula membalut hatiku. Bertahta kukuh di kalbu yang dahulunya begitu empuk. Kemarahan mula meresap ke urat saraf, menjadi gelora yang mampu memusnahkan. Mengapa harus begini akhirnya? Aku tidak tahu apa yang harus aku lakukan lagi. Oh, Tuhan. Tabahkanlah hatiku. Aku berkalih duduk. Mataku tersorot kearah sebuah potret aku dan Cikgu Balqis. Bingkainya telah patah. Aku yang menghempasnya dahulu sebaik mengetahui mama bukanlah ibu kandungku. Potret itu berderai terhempas ke lantai marmar putih menerima hentaman kuat daripadaku. Seminggu potret itu kaku disitu. Aku melarang Mak Jah mengutip kaca itu. Hatiku bagai dirobek dengan belati.






Hatiku keras. Hatiku tidak dapat dilembutkan lagi. Biarlah kakiku berdarah sekalipun dek kaca-kaca itu. Biarkan ia berdarah. Darah di kaki tidak semerah api di hatinya. Tasik hatinya yang dahulunya tenang disamping Cikgu Balqis kini sentiasa bergelora. Kebenciaan menyelinap ke setiap sudut hatinya. Wajah cikgu Balqis itu selalu bermain di wajahnya.






Seperti sebuah drama, aku memutarkan masa bagaimana aku menjerit geram ke arah guru itu. Aku terkilan. Sepanjang 12 tahun aku hidup, tidak pernah dia muncul dalam hidupku. Tapi kenapa sekarang?






“ Kenapa cikgu buat Haris macam ni? Kenapa cikgu serahkan Haris kepada mama? Cikgu tidak sayangkan Haris? Atau cikgu hanya merasakan Haris hanyalah bebanan cikgu?” bertalu-talu soalan muncul dari bibir mongel miliknya. Cikgu Balqis tersedu. Matanya menatap wajah kakaknya, Halena meminta bantuan. Namun apa daya mamanya untuk melembutkn hati anak itu.


“ Haris sayang.. ibu sayangkan Haris. Terlalu sayang. Kalau diizinkan ibu memang mahu untuk bersama dan membesarkan haris. Tapi ibu tak berdaya” sayu kata-kata Cikgu balqis menutur kata dengan harapan anak berusia 12 tahun itu mampu memahami maksud hatinya. Haris berang.






“ Cikgu bukan ibu Haris! Haris benci cikgu!!” aku berlari masuk kebilikku. Air mataku meluncur laju.






Sejak daripada hari itu, aku tidak lagi bertemu dan menanyakan soal cikgu Balqis kepada mamaku. Bagiku, aku hanya mempunyai seorang mama iaitu Datuk Seri Halena Asyraf. Bukan Nurbalqis Asyraf. Aku terlalu membenci nama itu. Aku meneruskan pembelajaran seperti biasa. Tetapi sejak peristiwa itu, aku mendapat khabar Cikgu Balqis telah berpindah ke negara Andalus. Khabarnya, mahu menyambung pelajaran. Aku mendengus. Dasar manusia yang tidak berperikemanusiaan. Hatiku semakin bergelora dek kerana hasutan syaitan untuk menyesatkan anak Adam. Aku tenggelam dalam kemarahan yang ku cipta.






Pagi itu hujan maha hebat dan disertai dengan angin kencang. Keadaan jalan raya licin. Aku terlewat bangun untuk kesekolah. Nasib aku agak baik kerana peperiksaan UPSR telah tamat minggu lalu. Aku menggesa abang Khairul supaya mempercepat pemanduan. Tetapi malang tidak berbau. Kereta BMW milik arwah papaku dirempuh sebuah lori minyak dan menyebabkan aku kehilangan pancaindera yang paling berharga. Aku buta. Hidupku kosong. Namun aku bersyukur kerana ALLAH masih lagi memberikan kesempatan untuk aku hidup. Abang Khairul pula meninggal di tempat kejadian. Saat itu, aku kembali teringatkan kata-kata Cikgu Balqis. Syurga dibawah tapak kaki ibu. Aku menangis. Mungkin ini adalah balasan tuhan terhadap perlakuanku kepadanya Cikgu Balqis yang aku ketahui adalah ibu kandungku. Ibu!!!! Ampuni Hariss!!! Jerit hati batinku.






Aku mendapat khabar daripada mama bahawa dokor telah menemui penderma mata yang sesuai denganku. Kata mama, wanita yang baik hati itu mahu merahsiakan identitinya dan meninggal akibat penyakit SLE yang dideritai hampir 15 tahun. Aku terdiam. Dalam hatiku berdoa agar rohnya dicucuri rahmat. Aku selamat menjalani pembedahan dan aku bersyukur dapat melihat kembali dunia ciptaan tuhan yang maha agung ini. Kehilangan pancaindera selama dua bulan telah banyak mengajar aku mengenali dunia yang indah ini ada penciptanya.






Hari ini keputusan peperiksaan UPSR diumumkan. Aku berjaya merangkul kejayaan yang cemerlang. Aku berjaya disebabkan Cikgu Balqis, ibuku. Ingin sekali aku menunjukkan helaian putih ini kepadanya. Aku menunggunya.














Seminggu berlalu, akhirnya mama menghulurkan sampul surat biru.


Aku membaca isi kandungan surat itu dengan dada berombak laju.


Anakku Haris Fakrullah,


Mungkin telah tiba masa untuk ibu pergi menemui pencipta kita yang maha esa. Ketahuilah anakku bahawa ibu sangat mencintai dirimu. Ibu menyanyangi segala yang ada pada dirimu semenjak mu berada didalam rahimu dan kerana kamu adalah lambang kesucian cinta ibu dan ayahmu. Ibu ingin memohon ampun diatas ketidaksempatan ibu membesarkan dan memberikanmu kasih sayang yang selayaknya kamu perolehi. Ibu menghidap penyakit kronik SLE hampir 15 tahun. Selepas melahirkanmu, ibu terpaksa dibawa ke luar negara untuk dirawati. Pernah mama dan arwah papamu mahu mempertemukan kita, tapi ibu menolak. Ibu bimbang kamu tidak mampu untuk menerimanya dan lantaran kesihatan ibu dahulu tidak sebaik yang kamu lihat ibu sebagai gurumu dahulu. Sekarang ibu tahu, kamu sudah menjangkau 12 tahun dan ibu harus membuka rahsia yang selama ini dirahsiakan. Ibu amat bahagia kerana tuhan memberikan kesempatan untuk ibu membahagiakanmu walaupun sekejap cuma. Cuma satu yang ibu minta daripada kamu. Jagailah satu-satunya harta yang ibu wariskan kepadamu. Jagailah ia sebaik mungkin seperti mana ibu mencintai kamudan seperti mana pengorbanan ibu kepadamu. Ibu sangat mencintaimu, anakku…






Salam sayang dari ibumu,,


Nurbalqis Asyraf






Air mataku mengalir laju. Aku memeluk mama dihadapanku. Kulipat surat itu dengan cermat. Aku redhai pemergiaanya menemui Illahi. Kata-kata ibu meresap di kalbu. Aku bersetuju mengikuti mama ke pusara cikgu Balqis. Tanahnya masih merah. Mama hanya memerhati dari jauh. Kini mama kehilangan adik yang tercinta. Ah, adakah aku sanggup untuk melupakan budi mama yang membesarkan aku? Mama, Haris tidak akan tinggalkan mama. Hatiku tenang kembali. Dan baru kini aku sedar bahawa kemaafan adalah dendam yang terindah! Akan aku jaga mata yang bekerdip ini sebaik mungkin selagi hayat dikandung badan. Hujan menitis perlahan membasahi wajahku seakan-akan mengerti. Kini, hidupku ibarat titisan air hujan yang mencurah membasahi bumi.Terima kasih cikgu Balqis..Ibu,terima kasih…

0 comments:

Post a Comment

orang y tader haty kot..

Copyright 2009 tHe sHaPe oF My hEaRt_ 슈퍼주니어. All rights reserved.
Free WPThemes presented by Leather luggage, Las Vegas Travel coded by EZwpthemes.
Bloggerized by Miss Dothy | Blogger Templates